Masalah Parkir Hospital Perlu Tindakan Segera.


Kota Kinabalu: Masyarakat Kota Kinabalu memerlukan tempat letak kenderaan yang lebih besar di Hospital Queen Elizabeth I (
HQEI) untuk kemudahan pada masa akan datang,kata ChinLing Ling, calon Gagasan Calon Bebas Sabah (GCBS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang.

Menurutnya, sebelum ini, ada cadangan untuk membina sebuah bangunan tempat letak kereta bertingkat di setiap hospital di Sabah tetapi rancangan ini masih belum dapat dilaksanakan.

Katanya, laporan berita di akhbar sebelum ini menyatakan Menteri Kewangan dan Menteri Kesihatan sudah dimaklumkan mengenai masalah itu dengan harapan kerajaan persekutuan akan memperuntukkan dana untuk pelaksanaannya.

Namun sehingga kini masih belum ada sebarang keputusan konkrit dari kerajaan pusat sama ada ia akan dibina atau sebaliknya.

Masalah ini sememangnya amat jelas di HQEI, sebagai contoh hampir 75 hingga 85 peratus pekerja seperti doktor, jururawat dan staf perubatan memandu kereta ke tempat kerja,katanya.

Chin berkata, bangunan tempat letak kereta yang ada di HQEI pula hanya memuatkan sekitar 300 kereta dan ia jelas tidak dapat memenuhi permintaan orang ramai yang berkunjung ke lokasi berkenaan.

Katanya, kakitangan perubatan juga terpaksa menggunakan perkhidmatan pengangkutan e-hailing untuk ke tempat kerja.

Sudah jelas bahawa terdapat masalah kekurangan tempat letak kenderaan yang serius di hospital berkenaan.

Tambahan lagi disebabkan penularan wabak covid-19, banyak orang kehilangan pekerjaan dan tidak lagi dapat pergi ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan ketika sakit.

Mereka terpaksa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan disebabkan itu, mereka tidak mempunyai pilihan selain meletak kenderaan mereka di sepanjang jalan berkenaan,katanya.

Chin berkata, ini jelas menunjukkan pengagihan pembangunan sangat tidak adil kepada Sabah.

Katanya, masalah tempat letak kereta tidak pernah menjadi masalah di Semenanjung Malaysia kerana hospital mereka sudah dilengkapi dengan tempat letak kereta bertingkat.

Sesiapa yang menjadi wakil rakyat di kawasan terlibat mestibekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencari jalan untuk menyelesaikan perkara ini.

Peruntukkan dana mesti diperoleh untuk menaikkan taraf tempat letak kereta bertingkat di HQEI,katanya. “

Chin berkata, ia adalah keperluan mendesak bukan hanya bagi orang di bandaraya ini tetapi juga pesakit dari luar daerah yang dirujuk ke HQEI untuk mendapatkan rawatan.