Pembangunan Perlu Kajian Menyeluruh


Kota Kinabalu: Sebilangan penduduk di kawasan Tanjung Aru menyuarakan kerisauan mereka berhubung kemungkinan tempat tinggal mereka diambil untuk pembangunan perumahan kos tinggi.

Apa yang menjadi kerisauan mereka adalah apabila perumahan seperti kondominium moden dan mewah dibina di kawasan mereka sehingga membebankan pembeli terutamanya generasi akan datang.

Calon Gagasan Calon Bebas Sabah (GCBS) Jan Chow berkata, kerajaan seharusnya mengambil perhatian terhadap masalah yang mungkin terpaksa dihadapi oleh rakyat pada masa akan datang.

Kerajaan perlu prihatin terhadap penduduk di kawasan rumah pangsa di sini. Sekiranya ia adalah rancangan pembangunan semula untuk mereka, ia sepatutnya ditetapkan pada harga yang berpatutan.

Cara lain untuk membantu mereka adalah mengekalkan bangunan warisan dengan memulihkan struktur rumah dan memperbaiki segala kekurangan perumahan berkenaan,kata Jan yang bertanding di Dewan Undangan Negari (DUN) Tanjung Aru.


Jan berkata, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPN) seharusnya memainkan peranan penting dalam menyediakan perumahan mampu milik sebanyak mungkin untuk rakyat.

Katanya, dalam hal rumah pangsa di Tanjung Aru, kerajaan mesti mencari tempat yang sesuai dengan kemudahan yang lebih baik untuk penduduk di sini, sebelum pembangunan semula di tanah ini.

Singapura mempunyai beberapa contoh terbaik untuk perumahan mampu milik. Rumah yang disediakan untuk rakyat sangat bersih dan mempunyai perhubungan pengangkutan awam yang cukup sempurna.

Begitu juga dengan pemilihan lokasi baru di mana ia mesti dilakukan secara profesional dan tidak hanya memindahkan semua orang ke Telipok tanpa ada sistem pengangkutan awam yang cekap untuk golongan pendapatan rendah,katanya.

Jam berkata, segala aspek berkaitan rakyat perlu dikaji oleh kerajaan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, kerajaan harus menyediakan perumahan yang baik, bersih dan mampu milik untuk pekerja kelas bawah dan pertengahan.

Walaupun mungkin ramai adalah lulusan universiti, namun mereka tidak akan dapat membeli kondominium mewah seperti dicadangkan oleh pemaju yang bekerjasama dengan LPPB.

Inikan pula kelas pekerja biasa. Mereka tidak akan mampu memiliki rumah untuk keluarga masing-masing,katanya.

Tamat