Tolak Politik Tahap Rendah


Kota Kinabalu: Calon Parti Cinta Sabah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas, Jeff Lu menyuarakan kekecewaan selepas mendapati permainan politik di negeri ini sudah mencapai tahap paling rendah dalam sejarahnya.

Ini berikutan beberapa calon membabitkan pelbagai parti dikaitkan dengan video lucah yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jeff dalam sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu berkata, walaupun dari parti berlainan, namun mereka sepakat untuk menentang permainan baharu politik yang amat memalukan itu.

Katanya, semua tujuh calon yang bertanding di DUN Likas itu dikaitkan dengan video lucah tampil membuat laporan polis bersama-sama sebagai tanda menolak tindakan berkenaan.

“Hari ini, bersama saya calon Gagasan Calon Bebas Sabah (GCBS) Melanie Chia dan calon USNO Isaac Hoong hadir di IPD Kota Kinabalu untuk membuat laporan polis.

“Sejak penamaan calon, kami sepakat untuk mewujudkan kumpulan di dalam aplikasi Whatsapp untuk menolak penggunaan ‘cybertrooper’ untuk menyebarkan fitnah abtara satu sama yang lain,” katanya.

Jeff berkata, video berkenaan sememangnya tidak benar dan diambil daripada laman porno semata-mata untuk memalukannya.

Katanya, isteri beliau turut mengesahkan pelaku dalam rakaman berkenaan bukan dirinya sambil memberitahu dia lebih mengetahui bentuk badannya berbanding orang lain.

Sementara itu, Melanie berkata, pengalaman lalu mengajar beliau untuk lebih berhati-hati dalam politik terutamanya ketika pilihan raya.

Katanya, pada PRU lalu, dia pernah dikaitkan dengan dakwaan kononnya beliau mengambil wang rasuah sebanyak RM5 juta daripada parti lawan.

“Pada mulanya, saya beranggapan ia tidak serius, namun apabila saya meninjau pusat pengiraan mengundi ketika itu, seorang wanita memandang serong terhadapnya dan menghinakan kerana kononnya mengambil rasuah.

“Saya tidak sangka perkara itu boleh menjadi serius. Sebab itu saya sepakat bersama-sama calon lain tampil membuat laporan polis,” katanya.

Untuk rekod, dalam rakaman video lucah yang tular, beberapa ahli politik yang dikaitkan adalah Jeff Lu, Ginger Phoong, Dr Chang Kee Ying dan Junz Wong.

Tamat