Polis Berjaya Halang Lebih 100 Individu Disyaki Dua Kerakyatan Balik Mengundi.


PAPAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah berjaya menghalang lebih 100 individu disyaki memiliki dua kerakyatan yang cuba balik mengundi menerusi laluan tidak sah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, semua individu berkenaan dikesan menaiki dua bot jongkong dan dua bot laju cuba memasuki perairan negara melalui sempadan laut di Sandakan.

“Kita terpaksa menghalang mereka kerana melalui jalan yang tidak sah.. bukan menafikan hak mereka untuk mengundi tetapi cara mereka masuk tidak betul dan kita perlu halang.

“Kita percaya mereka mempunyai dua dokumen atau dwi kerakyatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, hari ini.

Hazani berkata, halangan itu juga dilakukan kerana mengelak penularan wabak Covid-19.

“Sepatutnya mereka menggunakan laluan yang sah dan perlu pemeriksaan kesihatan.

“Tetapi mereka menggunakan jalan belakang (tidak sah) dan kita perlu menghalang mereka bagi mengelak sebarang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat di Sabah,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai keadaan proses pengundi PRN, Hazani berkata, setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingin berlaku dan keadaan tenang dan terkawal di semua pusat-pusat mengundi di negeri ini.

“Sepanjang tempoh kempen yang berakhir semalam, polis menerima sebanyak 193 laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan kebanyakkan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana menfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

tamat