Polis Siap Sedia Berdepan Sebarang Kekacauan.

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersiap sedia menghadapi sebarang kekecohan atau kekacauan sepanjang hari terakhir Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seluruh anggota dan pegawai yang terlibat juga sudah ditempatkan di beberapa kawasan mengikut keperluan.

Katanya, setiap penugasan pada hari pengundian sudah dilaksanakan dengan cukup teratur membabitkan hampir 900 keanggotaan.

“Semua pegawai dan anggota berkenaan sudah ditempatkan di lokasi masing-masing sejak jam 3 pagi sehingga lewat malam.

“Sehubungan itu, Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin yang mendakwa akan adanya kekecohan antara kumpulan beramai-ramai.

“Jika benar polis sudah bersedia untuk melaksanakan sebarang tindakan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Bagaimanapun Habibi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat dan orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta supaya melaporkan segera kepada pihak polis.

Katanya, polis juga sedang dalam merangka penugasaan untuk menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR) dan sebarang tindakan adalah berdasarkan penelitian keadaan semasa.

Sementara itu Habibi berkata hasil pemantauan di keseluruhan tujuh DUN di daerah ini mendapati kesemua pengundi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tamat