Seramai 36 PTI Ditahan.

KOTA KINABALU: Seramai 36 Pendatang Tanpa Izin (PTI) berjaya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh Sabah.

Operasi yang membabitkan 60 pegawai serta anggota itu dijalankan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, operasi yang dijalankan bermula 21 September lalu itu menumpukan beberapa kawasan yang dikenalpasti.

Katanya, operasi pemantauan dan penguatkuasaan lebih difokuskan di pantai timur Sabah termasuk Lahad Datu, Tawau, Kunak serta Semporna.

“Usaha operasi dijalankan bagi mengekang kemasukan PTI serta penularan COVID-19 terutama di pintu masuk utama sempadan.

“Dalam operasi ini, seramai 925 individu diperiksa yang membawa kepada penahanan 36 PTI yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Muhamad Sade berkata, kejayaan itu menjadikan jumlah keseluruhan tahanan sebanyak 507 tahanan sepanjang Januari sehingga kini membabitkan 138 operasi keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Sade berkata, operasi ini dijalankan bagi memastikan tiada kemasukan daripada pihak luar sekaligus mengurangkan risiko gangguan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung dengan kerjasama pelbagai agensi.

“Operasi dilaksanakan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga anggota daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Ia sebagai salah satu langkah membanteras PTI yang berada di negeri ini disamping berkolaborasi bersama agensi penguatkuasaan lain di dalam Operasi Benteng ya h dilaksanakan sejak Mei.

“JIM Sabah memohon kerjasama rakyat untuk melaporkan dan tidak melindungi PTI bagi membendung serta membanteras PTI di negeri ini, tanggungjawab ini bukan hanya digalas oleh pasukan keselamatan semata-mata,” katanya.