SPR Cekap Menjalankan Tugas

Putatan: Calon BN DUN 24 Tanjung Keramat, Ir Shahelmey Yahya memuji kecekapan pasukan petugas di pusat mengundi kawasan itu dalam mengendalikan kepatuhan normal baharu.

Beliau berkata, hasil pemantauan pihaknya pagi tadi, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pasukan keselamatan dilihat amat komited dengan tanggungjawab mereka.

“Ini termasuklah mengendalikan para pengundi secara teratur, mengambil suhu badan, pematuhan SOP sehinggalah merujuk ke saluran masing-masing.

“Kami memuji kecekapan mereka dalam memastikan pematuhan norma baharu dapat dilaksanakan,” katanya.

Shahelmey berkata demikian selepas selesai menunaikan tanggungjawab di peti undi pada jam 8.30 pagi tadi.

Beliau yang ditemani oleh isteri, Dayang Siti Nur Hayyat Ag Mohd Saufi menunaikan kewajipan mereka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan.

Dalam pada itu, Shahelmey turut menyeru orang ramai untuk keluar mengundi pada hari ini dengan mematuhi amalan Prosedur Operasi Standart (SOP) dan menjaga penjarakan sosial masing-masing.

tamat.