Rombakan Kabinet.


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan rombakan kecil dua portfolio kanan Kabinet Negeri membabitkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan serta Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Pengumuman itu dibuat kira-kira tiga jam selepas majlis istiadat angkat sumpah yang berlangsung di Istana Negeri, pagi tadi.

Hajiji dalam sidang medianya berkata, pertukaran itu membabitkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Mokhtar Radin ya g ditukar Ke portfolio Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Katanya, jawatan Bung yang diumumkan sebelum itu, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II pula diberikan kepada Datuk Seri Masidi Manjun.

“Tiada masalah, cuma saya ingin Datuk Masidi membantu saya kerana latar belakangnya yang berpengalaman dalam bidang kewangan dan ekonomi.

“Saya memerlukan beliau untuk membantu kerajaan menyelesaikan isu COVID-19 dan keadaan ekonomi yang tidak berapa baik akibat pandemik ini,” katanya pada sidang media pertama di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Hajiji berkata, keputusan pertukaran portfolio itu dipersetujui semua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, perbincangan mengenai pembahagian portfolio itu sudah dibuat sebelum ini mengenai dan tidak timbul perubahan di saat akhir.

“Kita ada perbincangan tetapi kerana ada pertambahan kerja untuk satu menteri. Jadi, kita buat perubahan, itu saja,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kuota menteri dari komuniti Cina, Hajiji berkata, perkara berkenaan akan diambil perhatian.

Tamat