MADIUS HARGAI SETIAP UNDI, KEKAL FOKUS PADA RAKYAT

KOTA KINABALU – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau akan terus menumpukan perhatian untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Menurutnya, beliau menghormati dan menerima keputusan Pilihan Raya Negeri ke-16 dengan baik.

“Saya mohon agar kita teruskan perjuangan dan perpaduan. Tentunya ada hikmah di sebalik setiap kejadian yang berlaku.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang  ialah bermuhasabah dan memperbaiki segala kelemahan serta terus memberikan yang terbaik untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Madius turut menekankan komitmennya dalam menjalankan tugas dan kewajipan sebagai Ahli Parlimen P170 Tuaran.

“Saya akan tetap meneruskan perjuangan dalam mempertahankan hak-hak orang Sabah. Saya berjanji akan menjadi pembangkang yang baik untuk rakyat bagi menyuarakan setiap permasalahan yang dihadapi,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Madius turut menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan, jentera Pilihan Raya Negeri dan individu yang telah memberikan kepercayaan yang tinggi kepada beliau.

“Saya dengan penuh rendah hati ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pucuk pimpinan parti-parti gabungan Warisan Plus dan semua yang telah bekerja keras dalam membantu saya  sepanjang pilihan raya negeri ini diadakan.

“Sesungguhnya setiap individu dan ahli jentera telah melakukan yg terbaik namun kemenangan tidak menyebelahi kita. Segala pengorbanan dan komitmen anda saya hargai,”katanya.

Madius turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Kiulu yang telah turun memberikan sokongan undi kepada beliau.