Pelan Pembangunan Pertama Dalam Tempoh Enam Bulan.


Kota Kinabalu: Pelan pembangunan akan dirangka dalam tempoh enam bulan ini bagi menyelesaikan beberapa masalah utama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam.

Wakil rakyat kawasan berkenaan, Peto Galim berkata, pelan pembangunan ini akan membabitkan seluruh kawasan termasuk bandar dan luar bandar.

Katanya, pelan pembangunan itu akan meliputi keperluan infrastruktur atau kemudahan yang difikirkan perlu bagi menyelesaikan masalah utama yang wujud di kawasan DUN ini.

“Dalam usaha merangka pelan pembangunan ini, saya akan memanggil beberapa kumpulan pakar dari dalam dan luar untuk membantu.

“Secara peribadi, saya sendiri sudah mempunyai beberapa perancangan untuk pelan berkenaan yang akan siap sebelum April tahun depan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Peto berkata, walaupun berada di blok pembangkang, setiap isu atau pembangunan yang diperlukan akan dibawa ke peringkat Sidang DUN untuk dibahaskan dan didengar.

Katanya, isu utama yang ada di Inanam ketika ini adalah masalah kesesakan jalan, banjir dan kekurangan peluang pekerjaan serta beberapa lagi isu lain.

“Saya akan pastikan agensi kerajaan yang terlibat supaya bersama-sama membantu dalam memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Peto mengucapkan terima kasih kepada rakyat dan semua pihak yang memilih serta memberi peluang kepadanya untuk dilantik sebagai wakil rakyat di kawasan DUN Inanam.

Katanya, beliau akan memastikan kepercayaan yang diberikan kepadanya akan dibalas dengan ketekunan kerja yang positif bagi menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi rakyat.

Tamat