RM50 Juta Untuk Mengekang Penularan Wabak Covid-19.

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM50 juta dalam usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19 disamping membantu mereka yang terjejas.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, daripada peruntukkan berkenaan, RM10 juta adalah agihan bakul makanan kepada rakyat yang terjejas.

Katanya, bantuan berkenaan dikhaskan untuk penduduk di empat daerah yang terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB).

“Antara kawasan yang dikenalpasti terjejas akibat penularan wabak ini ialah Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau.

“Semua pengurusan berkaitan isu-isu Covid19 ini akan diuruskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid19 Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hajiji berkata, jawatankuasa berkenaan juga akan dibantu oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta beberapa agensi berkaitan negeri dan persekutuan.

Berikutan itu katanya, Sabah Covid19 Command Centre akan dimansuhkan sepenuhnya dan semua peranannya akan diletakkan di bawah jawatankuasa ini.

Tamat