Dua Pengedar Ganja Ditahan.

Penampang: Kegiatan dua sahabat menjalankan aktiviti pengedaran ganja terbongkar selepas mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Bundusan, di sini, Selasa lalu.

Dua serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Jabatan Polis Daerah (IPD) Penampang itu turut berjaya merampas ketulan mampat daun kering seberat 1,637 gram yang dipercayai dadah jenis ganja.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, bertindak atas maklumat pengedaran dadah, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek menemui lima ketulab tumbuhan kering mampat disyaki dadah jenis ganja seberat 260 gram.

“Seterusnya siasatan lanjut ke atas suspek di pejabat miliknya di Bundusan Commercial Centre menemui satu ketulan tumbuhan kering mampat dengan anggaran berat 540 gram.

“Anggaran keseluruhan rampasan daripada suspek adalah 800 gram dengan nilai rampasan bernilai RM2,000.

“Turut dirampas sebuah kereta Toyota Land Cruiser, wang tunai RM900, seutas gelang emas dan lain-lain rampasan dengan nilai rampasan RM398,400,” katanya dalam sidang media di IPD Penampang, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil siasatan dipercayai suspek ini terbabit dalam pengedaran dadah untuk daerah Kota Kinabalu dan Penampang sejak pertengahan Januari. Suspek juga dipercayai mendapat bekalan dadah daripada Kuala Lumpur melalui kiriman kuarier Servis.

“Susulan tangkapan itu, polis menjalankan satu lagi serbuan dan menahan seorang lelaki berusia 21 tahun dan merampas satu bungkusan plastik mengandungi ketulan tumbuhan kering mampat disyaki dadah ganja seberat 272 gram.

“Siasatan seterusnya di rumah suspek, turut merampas dadah jenis ganja seberat 540 gram. Keseluruhan rampas dadah bagi suspek ini iaitu 837 gram dianggarkan bernilai RM2,000. Turut dirampas sebuah kereta jenis BMW dan wang tunai RM5,000 dan lain-lain dengan nilai rampasan dianggarkan RM29,000.

“Hasil siasatan dipercayai suspek mendapat bekalan daripada suspek tangkapan pertama dan juga merupakan sebagai ‘stor keeper’ kepasa suspek pertama serta mula terbabit dengan pengedaran dadah sejak Mei 2020,” katanya.

Menurutnya, hasil rampasan dadah ganja seberat 1,637 gram dan nilai keseluruhan rampasan bagi kedua-dua suspek terbabit RM427,400.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.

tamat