SJR Dikuatkuasakan Tengah Malam Ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang akan menguatkuasakan Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi mengawal pergerakan rentas sempadan antara beberapa daerah berhampiran dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, penguatkuasaan itu akan bermula tengah malam ini selaras dengan pengumuman yang dibuat kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun Katanya, masyarakat di daerah ini masih boleh merentasi sempadan daerah dengan kebenaran polis atas beberapa alasan munasabah.

“Antara yang dibenarkan adalah perkhidmatan penting seperti penghantara bekalan makanan, perubatan dan berkaitan, alasan berkaitan pekerjaan serta keperluan perubatan ataupun pengurusan jenazah.

“Bagi mereka yang tinggal di daerah lain tetapi di sini, mereka perlu mendapatkan surat pengesahan daripada majikan masing-masing,” katanya pada sidang media yang diadakan dipejabatnya, hari ini.

Mohd Haris berkata, begitu juga sebaliknya masyarakat di daerah ini yang mahu keluar daerah diminta supaya mendapatkan kebenaran daripada balai polis sebelum meneruskan perjalanan.

“Saya difahamkan oleh Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah, empat daerah berhampiran seperti Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Putatan dicadangkan supaya diletakkan dalam satu zon untuk memudahkan pergerakan orang awam yang tinggal dan bekerja di antara daerah ini.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada perkembangan semasa daripada Pesuruhjaya Polis Sabah,” katanya

Sementara itu, Mohd Haris berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, IPD Penampang sudah mengeluarkan sebanyak 350 kompaun terhadap orang ramai.

Katanya, dua kesalahan utama yang sering dikesan adalah membabitkan kesalahan tiada penjarakan sosial dan tidak memakai topeng penutup mulut dan hidung.

“Antara lokasi yang sering dikenalpasti melakukan kesalahan adalah kedai makan, cafe, kenderaan awan pusat hiburan.

“Polis akan meneruskan operasi pemantauan dari semasa ke semasa dalam usaha untuk memutuskan rantaian penularan wabak penyakit berjangkit ini,” tegasnya

Tamat