Beberapa Lokasi Dilanda Banjir

Kota Kinabalu: Hujan lebat sejak lewat malam tadi, menyebabkan beberapa lokasi sekitar ibu negeri dilanda banjir kilat.

Antara lokasi yang terjejas adalah sekitar Taman Telipok Jaya, Taman Telipok Ria, Kampung Lokub, Kampung Lorong Pulau, Manggatal dan Kampung Kaulan serta Kampung Rugading, Tuaran.

Air hujan dikatakan mula naik sehingga menenggelamkan jalan raya dan kenderaan yang diletakkan berhampiran serta tingkat bawah beberapa bangunan kedai berhampiran.

Akibat daripada hujan lebat dan banjir di sekitar bandaraya ini turut mengakibatkan beberapa jalan utama mengalami kesesakan lalulintas

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian banjir di beberapa lokasi.

Untuk rekod, sehingga kini, hujan masih lebat dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hujan akan berhenti.