Ingkar PKPP, Pemilik dan Penjaga Premis Dikenakan Kompaun.

Beaufort: Gara-gara gagal menyediakan buku catitan butiran pengunjung, pemilik dan penjaga dua premis berasingan dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Membakut, di sini, petang tadi.

Kedua-dua lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pasukan pemantauan penguatkuasaan Covid-19 dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, jam 3.50 dan 4.10 petang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pemeriksaan di dua premis itu membabitkan pusat servis pendingin hawa dan kedai snooker.

“Hasil pemeriksaan di premis pusat servis pendingin hawa mendapati pemilik gagal menyediakan buku catitan pengunjung dipremisnya.

“Seterusnya pemeriksaan di kedai snooker mendapati penjaga premis turut gagal memastikan pengunjung untuk membuat catitan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Azmir berkata, kedua-dua mereka kemudian dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan kompaun kerana melanggar SOP yang ditetapkan.

“Kesalahan disiasat mengikut Peraturan 11(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

Sementara itu, Azmir berkata, pihaknya turut mengambil tindakan kompaun ke atas seorang pelanggan kerana tidak mencatit nama dan mengambil bacaan suhu ketika masuk ke dalam premis di Beaufort Jaya, jam 10.15 pagi, hari ini.

“Pelanggan lelaki berusia 26 tahun kemudian dibawa ke IPD Beaufort untuk dikompaun kerana didapati melakukan kesalahan mengikut mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

tamat