Sekatan Rentas Negeri Dikuatkuasakan.

Kota Kinabalu: Kerajaan memutuskan untuk menguatkuasakan sekatan rentas negeri di Sabah bermula esok sehingga 20 Oktober depan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekatan itu membabitkan perjalanan keluar dari Sabah atau masuk ke Sabah dari Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Namun katanya, beberapa pengecualian khas akan diberikan kepada kes tertentu yang membabitkan kecemasan dan perkhidmatan perlu dengan kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Bagi pergerakan masuk ke Sabah, kebenaran diberikan kepada rakyat Sabah, pasangan yang memiliki pas imigresen sah atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.

“Selain itu, pengecualian juga diberikan kepada pekerja bidang perkhidmatan perlu yang mempunyai pas imigresen sah, pelajar, pekerja perkhidmatan awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah serta pemastautin tetap Sabah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Ismail berkata, bagi pergerakan keluar dari Sabah pula, kebenaran diberikan kepada kes kecemasan dan tugas rasmi dengan mengemukakan permohonan serta mendapat kebenaran daripada KKM.

Selain itu katanya, individu yang dibenarkan keluar dari Sabah perlu menjalani ujian saringan Covid-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Katanya, sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434.

Tamat