Pemilik Akaun Facebook ‘Bintangku’ Diminta Tampil Ke IPD Lahad Datu.

Lahad Datu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu meminta pemilik akaun facebook ‘Bintangku’ supaya tampil membantu siasatan yang dibuka terhadapnya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, satu laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun berkenaan selepas satu kenyataan yang dibuat di laman sosial facebook.

Katanya, pemilik akaun berkenaan dipercayai mengeluarkan kenyataan tidak benar selain mencalar kredibiliti pasukan polis.

“Kenyataan yang ditulis di laman facebook itu mendakwa, pasukan polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) dengan sengaja mengeluarkan saman terhadap pemilik akaun Hamri Amri disebabkan polis mahu makan duit sama berkenaan.

“Manakala diruangan komen pula, pemilik akaun Hamri Amri memuatnaik gambar resit saman yang dikeluarkan polis trafik IPD Lahad Datu atas kesalahan memandu lesen tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, kenyataan yang dimuatnaik itu adalah tidak benar dan cuba menjatuhkan serta mencalar imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, IPD Lahad Datu memandang serius perkara ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap pesalah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih satu atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” tegasnya.

Nasri berkata, orang awam yang memounyai maklumat berhubung pemilik akaun berkenaan juga diminta membantu menyalurkan kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Sophia Anak Thomas ditalian 013-9392505 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sehubungan itu, Nasri menasihati pengguna media sosial supaya berhati-hati semasa mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen terutamanya yang boleh membawa kesan menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang atau jabatan.

Tamat