Maritim Malaysia Tambah Aset Perkukuh Pemantauan Perairan Sabah.


KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengambil langkah penambahan aset keselamatan bagi memperkukuhkan pemantauan di perairan Sabah.

Usaha itu diambil bukan saja untuk membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PTI) di negeri ini tetapi juga susulan peningkatan penularan Covid-19 yang dipercayai dibawa mereka.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan sempadan bagi mengekang kemasukan PTI terutamanya dari Indonesia dan Filipina.

Katanya, semua aset akan digerakkan aset bagi memastikan perairan negeri ini bebas daripada kemasukan warga asing.

“Negara sedang berjuang untuk menentang penularan wabak Covid-19 yang melanda negara sejak awal Mac lalu.

“Setakat ini, seramai 120 warga Filipina yang disyaki dibawa masuk bot nelayan tempatan di perairan Sandakan berjaya dihalang, diberi amaran dan diusir keluar,”katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Rosli berkata, pihaknya juga mengatur gerak aset di seluruh Zon Maritim sebagai usaha menangani penularan Covid-19 berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan pantai timur Sabah.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, Maritim Malaysia sudah menambah aset pemantauan di sekitar perairan Tawau, Semporna, Lahad Datu, Sandakan dan Kudat.

Katanya, ia bagi melancarkan beberapa operasi bersama agensi keselamatan lain iaitu menerusi Operasi Benteng dan Operasi Cegah Pati.

Sementara itu, Mohd Rosli turut memaklumkan Maritim Malaysia (Sabah) merekodkan tangkapan 157 orang PTI sejak Januari hingga Ogos lalu membabitkan 64 warga Indonesia dan 93 warga Filipina.

Tamat