Dokumen Sahih Sokongan Ahli Parlimen Sudah Diserahkan Kepada YDPA.-Anwar Ibrahim


Kota Kinabalu: Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan sudah menyerahkan dokumen sahih mengenai majoriti kukuh Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Dokumen berkenaan diserahkan di Istana Negara, hari ini, kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Anwar berkata, beliau kini hanya menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan negara.

Katanya, beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas perkenan Baginda menerimanya untuk mengadap hari ini.

“Sebagaimana yang dijanjikan pada sidang akhbar 23 September lalu, saya tunaikan hari ini dengan mempersembahkan dokumen sahih mengenai majoriti kukuh Ahli Parlimen yang menyokong saya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sebagai hamba Allah yang insaf dengan segala ujian yang saya lalui, saya dengan rendah diri memanjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah swt kerana di atas Rahmat dan Hidayahnya memberi kekuatan, kesabaran dan iltizam untuk saya meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara tercinta ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Anwar berkata, rakyat dan semua ahil politik tanpa mengira parti dan fahaman diminta supaya bersabar.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan negara.

“Saya juga berterima kasih dan menyanjung tinggi kesabaran, pengorbanan dan doa seluruh rakyat kepada saya.

“Kini bukanlah masa untuk merayakan kemenangan sesiapa atau menangisi kekalahan sesiapa.

“Tidak ada kemenangan atau kekalahan kepada sesiapa pun hari ini. Kemenangan sebenarnya ialah apabila kita berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, makmur, adil dan harmoni untuk seluruh rakyatnya,” tegasnya.

Anwar berkata, sekarang juga bukan masanya untuk menyebar maklumat dan berita palsu.

“Oleh itu, saya pohon agar kita semua mainkan peranan untuk hanya menyebar maklumat dan berita yang sahih.

“Marilah kita semua bekerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh membina semula negara tercinta ini,” tegasnya

Tamat