Penguatkuasaan SOP PKPB Diperketatkan.


Penampang: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sudah merekodkan sebanyak 24 kompaun terhadap orang awam yang melanggar Penguatkuasaan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Semua kompaun berkenaan dikeluarkan bermula 7 Oktober lalu sehingga semalam yang dijalankan di sekitar daerah Penampang dan Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, semua kompaun berkenaan dikeluarkan kepada 22 pesalah lelaki dan dua pesalah wanita.

Katanya, tindakan kompaun ini akan diteruskan sebagai memperlihatkan ketegasan PDRM dalam melaksanakan penguatkuasaan PKPB di daerah ini.

“Pemantauan dan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sepanjang perlaksanaan PKPB di daerah Penampang dan Putatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Ops Bersepadu Pematuhan Covid-19 di Pasar Borong Tani, Penampang.

Sementara itu, Mohd Haris berkata, operasi hari ini adalah bagi memastikan setiap peniaga dan pelanggan yang datang ke pasar borong tani ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan.

Katanya, daerah Penampang sememangnya diletakkan dalam zon merah dalam PKPB dan mempunyai risiko yang tinggi.

“Oleh itu, operasi hasil kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk Majlis Daerah Penampang dan beberapa agensi lain untuk memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

“Kita mengharapkan orang ramai tidak datang ke pasar borong ini tanpa menuruti SOP ditetapkan kerana ia mengundang risiko jangkitan,” katanya.

Sementara itu Mohd Haris berkata, pasar borong tani ini tidak ditutup kerana keperluannya kepada masyarakat setempat.

Bagaimanapun katanya, masa operasinya dihadkan bermula jam 6 pagi hingga 2 petang dan penguatkuasaan SOP juga diketatkan serta dipantau oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Tamat