TIGA NELAYAN DISELAMATKAN PPM.

KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu berjaya menyelamatkan tiga nelayan di perairan laut Karambunai dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, operasi dijalankan selepas menerima laporan berhubung sebuah bot nelayan yang meminta bantuan akibat mengalami kerosakan enjin di laut.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendam Enturan Anak Lageh berkata, sebaik menerima makluman Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, sebuah bot ronda PPM dikerah menjalankan operasi pencarian di kawasan sekitar.

Katanya, bot nelayan berkenaan akhirnya berjaya ditemui di perairan laut Karambunai kira-kira 12.6 batu nautika dari pangkalan PPM Kota Kinabalu.

“Ketiga-tiga nelayan berusia 30 hingga 40-an itu berasal dari Kampung Lok Urai Pulau Gaya dan mereka semua ditemui berada dalam keadaan selamat.

“Semua mangsa memaklumkan bahawa bot mereka mengalami kerosakan enjin sejak jam 1.30 pagi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Enturan berkata, pasukan botronda PPM kemudiannya bertindak menyelamatkan ketiga-tiga nelayan dan menunda bot nelayan berkenaan kembali ke Kampung Lok Urai Pulau Gaya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Enturan memberitahu pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berhubung kes curi di Kampung Pondo, Pulau Gaya, Isnin lalu.

Katanya, suspek seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan bersama pelbagai jenis barang curi antaranya alat pam, rantai besi, peralatan komponen enjin, pemotong besi, gergaji besi dan alat penimbang.

“Semua barang dipercayai hasil curi yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM6,800.

“Suspek diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jenayah IPD Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Tamat