248 Pasukan Pemantau SOP PKP.

Kota Kinabalu: Sebanyak 248 pasukan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) dikerahkan untuk memantau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Pasukan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, turut disertai pelbagai agensi lain antaranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, sepanjang pelaksanaan PKP, seramai 1,869 individu sudah ditahan atas pelbagai kesalahan sejak Mac lalu sehingga hari ini.

Katanya, berdasarkan jumlah itu, sebanyak 1,210 pertuduhan sudah dibuat untuk pendakwaan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

“PDRM juga sudah mengeluarkan kompaun terhadap 1,454 individu yang didapati melanggar SOP PKP di negeri ini.

“Operasi pemantauan ini akan bertugas 24 setiap hari bagi memastikan masyarakat menuruti SOP yang digariskan pihak berkuasa di negara ini dituruti,” katanya dalam sidang media dipejabatnya, hari ini.

Hazani berkata, antara pemantauan yang dilakukan adalah memastikan amalan 3S (crowded, confined, close) iaitu mengelakkan kawasan sesak dan sempit serta bersembang dalam jarak yang dekat.

Selain itu katanya, orang ramai juga digalakkan supaya mengamalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai alat topeng muka di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran (warn) dari KKM yang lebih berkonsep peringatan.

Tamat