Lelaki Menyamun Ditahan.

Labuan: Kurang 10 jam. Itu kepantasan pasukan polis yang berjaya menyelesaikan kes samun bersenjatakan pisau dengan penahanan seorang lelaki di Kampung Sungai Labu, di sini, semalam.

Suspek warga tempatan berusia 28 tahun itu ditahan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, kira-kira 2 petang.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, sebelum ini, jam 4.10 pagi, suspek seorang penganggur disyaki memecah masuk dalam rumah seorang wanita yang bekerja sebagai penjaga hotel di sini.

Katanya, suspek yang menggunakan sebilah pisau pemotong sayur kemudian mengarahkan mangsa supaya tidak menjerit.

“Namun mangsa melawan dan berlaku pergelutan. Mangsa cedera di bahagian muka, lengan dan perut akibat ditendang, ditumbuk oleh suspek.

“Suspek turut bertindak mengacu pisau ke arah mangsa dan meminta untuk menyerahkan barang-barang berharga yang terdapat di dalam beg duit iaitu wang tunai RM80 dan telefon bimbit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa yang disamun suspek.

Muhamad Farid berkata, anggaran kerugian yang dialami mangsa bernilai RM1,400.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa dan sebilah pisau yang digunakan ketika kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.