Lelaki ‘Voicemail’ Diburu.

Kota Kinabalu: Polis sedang menjalankan siasatan berkenaan rakaman suara ‘voicemail’ seorang lelaki yang tersebar luas melalui aplikasi WhatsApp yang dibimbangi mengugat keamanan dan boleh mencetuskan kekacauan.

Dalam rakaman suara itu, lelaki terbabit mengeluarkan kata-kata menghina dan menuduh rakyat Sabah sebagai penyebab peningkatan penyebaran pandemik Covid-19 di negara ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, mesej suara berdurasi 34 saat itu yang dipercayai dibuat seorang lelaki dari Johor tular menerusi aplikasi WhatsApp sejak dua hari lalu.

Ekoran itu katanya, beliau menerima banyak panggilan daripada beberapa pihak tertentu yang menyuarakan rasa tidak puas hati berkaitan perkataan yang dikeluarkan lelaki berkenaan.

“Mesej suara yang dibuat itu agak kasar dan tidak menggambarkan budaya sebagai rakyat Malaysia.

“Individu itu bercakap tidak mengggunakan akal, cetek dalam pemikiran.. semua orang tahu kita di Malaysia ini bersatu dalam menangani pendemik Covid-19 ini.

“Tidak perlu mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berniat jahat, yang menghina sesebuah negeri, bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Hazani berkata, kenyataan seperti ini tidak patut dikeluarkan terutama ketika negara sedang berdepan dengan pendemik Covid-19.

Katanya, walaupun setakat ini, pihaknya menerima sebarang laporan namun siasatan akan dijalankan.

“Dalam mesej suara itu, individu terbabit mengatakan rakyat Sabah balik ke Sabah untuk proses Pilihan Raya Negeri baru-baru ini, dan bercampur gaul dengan pendatang asing tanpa izin dan balik ke Semenanjung bawa balik wabak Covid-19.

“Selepas itu, keluarlah beberapa perkataan jelik yang menghina rakyat Sabah. Saya tahu rakyat di negeri ini cukup matang untuk menilai benda-benda mana yang baik dan buruk yang tidak sepatutnya dikeluarkan ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Saya menasihatkan orang awam terutama rakyat di negeri ini agar tenang dan tidak mudah percaya pada elemen-elemen yang berniat jahat yang cuba untu menggugat keamanan serta keharmonian kaum di negeri ini,” katanya.

Katanya, siasatan bagi kes ini sedang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Mulitimedia.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati serta bersederhana ketika mengeluarkan kenyataan atau membuat ulasan di media-media sosial terutama isu-isu sensitif.

“Tidak perlu menimbulkan keadaan yang menggusarkan masyarakat yang lain,” katanya.

Tamat