SAR Masuk Hari Ketiga

Kota Kinabalu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang selepas dipercayai dipukul ombak ketika keluar mencari siput di perairan Pulau Keramat, Rampaian Laut, Kota Belud, diteruskan masuk hari ketiga, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan, Mohd Rosli Abdullah berkata, operasi SAR yang diaktitkan pada 14 Oktober lalu dan masuk hari ketiga pada hari ini namun masih belum kelihatan sebarang tanda positif penemuan mangsa di sekitar perairan Kota Belud dan pantai Pulau Keramat.

Katanya, kawasan pencarian mangsa dipecahkan kepada tiga sektor dengan keluasan 35 batu nautika persegi hari ini.

“Antara aset yang terbabit dalam operasi SAR iaitu Bot Pengawal 38, dua bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan satu bot dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Setakat ini, operasi SAR masuk hari ketiga belum ada sebarang tanda positif penemuan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian petang Rabu lalu, mangsa Mohd Hafizan Abdul Muara, 21, dari Kampung Rampaian, Kota Belud bersama tiga rakannya keluar mencari siput dengan berjalan kaki berhampiran Pulau Keramat.

Bagaimanapun mangsa disedari hilang jam 3 petang oleh rakannya dan usaha mencari terus dilakukan bersama penduduk kampung.

Tamat