Saya Amat Menyesal, Maafkan Saya.

Kota Kinabalu: “Saya amat menyesal, maafkan saya,”. Itu luahan seorang lelaki dipercayai berusia 50-an yang dikatakan pemilik rakaman suara menghina dan menuduh rakyat Sabah sebagai punca peningkatan kes Covid-19, di negara ini.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu video berdurasi 1 minit 18 saat dimuatnaik dan dikongsikan melalui aplikasi WhatsApp.

Dalam rakaman itu, lelaki dipercayai pemandu lori treler itu mengaku salah atas keterlanjurannya mengeluarkan kenyataan yang biadap terhadap penduduk di negeri ini.

“Kepada rakyat Sabah yang berada di Malaysia terutama berada di Johor.. saya pada dua hari lepas, saya ada marah, ada maki dengan orang Sabah. Hari ini saya minta maaf banyak -banyak sebab saya terlepas cakap.

“Saya minta pada rakyat sabah tidak kira di mana, saya minta banyak-banyak… saya berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu

“Kepada abang, adik, pakcik kakak, saya minta maaf… saya ada maki orang sabah, maafkan saya warga sabah,” katanya dalam rakaman video berkenaan.

Beberapa hari lalu, mesej rakaman suara berdurasi 34 saat yang tular menerusi aplikasi WhatsApp dipercayai dibuat seorang lelaki dari Johor yang menghina dan menuduh rakyat Sabah sebagai punca peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Susulan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dalam sidang media, semalam, menegaskan pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengesan individu terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia.

tamat