Angin Kencang Badai Pasar Dan Rumah Di Putatan

Putatan: Hujan dan angin kencang malam tadi menyebabkan Pasar Pagi Putatan, dan beberapa rumah berhampiran di Kampung Pasir Putih, di sini, rosak teruk.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, Pasar Pagi Putatan mengalami kerosakan manakala beberapa atap rumah berhampiran melayang dibawa angin kencang.

Bagaimanapun, insiden selama beberapa jam itu tiada menyebabkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Pemilik rumah yang rosak, Fadilah Ahmad Fauzi, 25, berkata ketika kejadian dia berada di dapur rumahnya dan sedang mencuci pinggang mangkuk.

“Ketika itu, kedengaran bunyi angin lalu lampu siling terjatuh. Saya kemudian meluru masuk ke ruang tamu bersama enam ahli.

“Kejadian itu berlaku dua ke tiga minit. Selepas keadaan redah, kami terkejut apabila bumbung dapur tercabut dan diterbangkan ke bahagian laman hadapan rumah.

“Kejadian itu berlaku dengan pantas dan kami tidak menyedari bumbung rumah diterbangkan angin. Keadaan rumah kami terjejas teruk,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, tinjauan di Pasar Pagi Putatan mendapati keadaan bumbung ranap dan beberapa tiang besi tertanggal.

Ketika kejadian, pasar berkenaan tidak beroperasi dan sepasukan polis turut berada di lokasi kejadian bagi memeriksa keadaan pasar berkenaan.

tamat