Wanita Memakai Gelang Merah Jambu Ditahan.

Labuan: Seorang wanita yang memakai gelang merah jambu ditahan polis selepas didapati ingkar terhadap Perintah Kuarantin yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan WP Labuan, hari ini.

Wanita berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam  2.30 petang selepas didapati berada di sebuah kedai runcit untuk membeli barangan di kawasan Bandar Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, tangkapan berjaya dilakukan hasil maklumat orang awam selepas menyedari gelang yang dipakai wanita berkenaan.

Katanya, suspek sebelum ini dikenalpasti masuk ke Labuan melalui pintu masuk di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 27 September lalu sebelum mendapat perintah kuarantin sehingga 10 Oktober.

“Bagaimanapun, wanita berkenaan kemudiannya diarahkan menjalani sambungan kuarantin di rumah bermula hari ini sehingga 29 Oktober depan sementara menunggu keputusan ujian saringan kali kedua.

“Namun suspek ingkar dan mengabaikan perintah kuarantin berkenaan dengan singgah ke kedai runcit bersama suaminya dipercayai ketika dalam perjalanan pulang dari hospital,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Muhamad Farid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya.

Selain itu katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah sah yang dikeluarkan pegawai Berkuasa.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, jika disabit bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh sehingga enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, jika disabitkan bagi kesalahan pertama hukuman penjara tempoh tidak lebih dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya hukuman penjara tempoh tidak melebihi lima tahun, atau denda atau kedua-duanya,” Katanya

Muhamad Farid berkata, bagi kesalahan berterusan, pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan.

Tamat