Bertiga, Bukan Berdua Dalam Kenderaan. IPD Penampang


Penampang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Penampang menafikan ada mengeluarkan kompaun terhadap dua individu yang berada dalam satu kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Penampang – Papar, Jumaat lalu.

Dakwaan kompaun berkenaan yang tular sejak semalam itu sebenarnya dikeluarkan terhadap tiga individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membabitkan penumpang kenderaan yang dibenarkan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menyedari terdapat mesej tular melalui aplikasi WhatsApp berhubung pengeluaran kompaun berkenaan.

Katanya, info yang terkandung di dalam mesej yang tular itu tidak tepat dan tiada kaitan dengan imej kompaun berkenaan.

“Imej kompaun yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu adalah berkaitan dengan kesalahan yang dikenakan terhadap tiga individu yang menaiki sebuah kenderaan dari satu lokasi yang ditahan di SJR Jalan Penampang – Papar, Jumaat lalu.

“Ianya satu kesalahan kerana tidak patuh kepada SOP PKPB yang dikeluarkan iaitu hanya dua individu saja dibenarkan dalam kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, ketiga-tiga individu itu dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Katanya, penularan imej dan mesej tidak tepat itu adalah satu tindakan tidak bertanggungjawan dan mencemarkan imej pasukan polis khususnya IPD Penampang.

“Polis amat memandang berat perihal ini dan memberikan amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan info palsu yang menimbulkan kekeliruan masyarakat.

“Individu yang ingkar bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang,” katanya.

Tamat