COVID-19: 702 KES DI SABAH HARI INI, CAMPURAN KES BARU DIKESAN DAN KES TERTANGGUH

KOTA KINABALU: Sebanyak 702 kes COVID-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini adalah campuran kes baru dikesan dan kes tertangguh yang baru diperoleh keputusan ujian, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan pecahan jumlah kes masing-masing kerana ia masih belum ditentukan serta memerlukan proses yang agak rumit.

Katanya pada awal bulan ini sebanyak 18,000 ujian COVID-19 masih belum diperoleh keputusan ujiannya atau tertangguh dan hasil tindakan pantas dilaksanakan semua pihak terutama Kementerian Kesihatan (KKM) jumlah itu dapat dikurangkan kepada 11,000 pada masa ini.

“Tetapi dalam masa dua tiga hari ini kami jangka jumlah kes adalah pada angka yang tinggi kerana kami sudah melaksanakan ujian COVID-19 ini pada kadar lebih cepat dan banyak ujian yang backlog ini kami akan ketahui keputusannya.

“Justeru orang ramai diminta supaya tidak panik dan terus mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) untuk kita atasi COVID-19 ini. Situasi di Sabah masih terkawal dan kita masih dapat menampung keperluan untuk menghadapi penyakit ini,” katanya pada sidang media di Wisma Innoprise di sini malam ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata Sabah kekal mencatatkan jumlah kes baharu harian COVID-19  tertinggi di negara ini dengan 702 kes dilaporkan, atau 80.6 peratus daripada keseluruhan 871 kes yang direkodkan di Malaysia.

Masidi berkata jumlah angka tinggi itu juga antara lain disebabkan langkah ujian saringan yang diperluas dan lebih bersasar di 15 daerah zon merah iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tuaran, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Sandakan, Papar, Kota Kelud, Keningau, Tambunan, Beaufort dan Ranau.

“Orang ramai tidak perlu risau kerana langkah pencegahan penularan jangkitan dilaksana Jabatan Kesihatan Negeri Sabah iaitu 1,577 orang telah dikuarantin di pusat kuarantin negeri ini, manakala 29,470 telah diperintah untuk kuarantin di rumah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dijangka memulakan semula tugasnya pada pertengahan minggu depan selepas disahkan bebas COVID-19 dan dibenar keluar Hospital Queen Elizabeth di sini hari ini.

— BERNAMA