Kementerian Kesihatan Sabah, ‘Umpama Harimau Tanpa Taring’.- Datuk Seri Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Kewujudan menteri kesihatan Sabah hanya umpama ‘harimau tanpa taring’ kerana ia tidak mempunyai kuasa dari aspek undang-undang untuk membuat dasar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, semua fungsi kementerian kesihatan yang diwujudkan sebelum ini kini diletakkan dalam bidang kuasa Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Katanya, cara pengurusan Covid-19 di Sabah tidak jauh berbeza dengan apa yang dilakukan sebelum ini cuma bezanya tiada kementerian kesihatan.

”Walaupun tiada menteri kesihatan tetapi apa perkara yang timbul sudah diambil tindakan, kalau kita lihat masalah mewujudkan kementerian kesihatan ini ialah tiada kuasa undang-undang membuat dasar.

“Ia seperti harimau yang tidak menggigit, hanya takutkan orang tetapi tiada kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkenaan perkembangan semasa Covid-19 di Sabah, di sini, hari ini.

Masidi berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerja rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam menguruskan Covid-19 di negeri itu.

Katanya, pendekatan yang diambil kerajaan negeri adalah bekerjasama dengan agensi kerajaan persekutuan yang ada kuasa undang-undang.

“Secara kesimpulannya, kita akan ada taklimat, bukan saja dengan pengarah kesihatan negeri tetapi juga dengan ketua pengarah kesihatan negara.

”Kita ada fakta dan maklumat yang diterima setiap hari, percayalah kepada saya, kami tahu apa yang kami sedang buat,” katanya.

Tamat