Dalang Sindiket Dadah Diberkas.

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di sekitar Pekan Inanam, di sini, berjaya diberkas polis, Rabu lalu.

Suspek berstatus pemastautin tetap berusia 23 tahun itu berjaya ditahan polis kira-kira jam 8.30 pagi, hasil maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika ditahan, polis menemui 205 keratan straw berisi dadah jenis syabu.

Katanya, berat keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 70.50 gram dengan nilai RM7,050 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Semua dadah berkenaan ditemui hasil pemeriksaan badan dan ia disembunyikan di dalam poket seluar suspek.

“Modus operandi yang digunakan suspek adalah mendapatkan bekalan dadah dari sindiket sebelum dijual dalam kuantiti kecil,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, sebuah kenderaan Proton Saga BLM juga dirampas bagi membantu siasatan lanjut selepas disyaki digunakan untuk tujuan pengedaran dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

“Suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan lanjut,” tegasnya.

Tamat