Fasiliti Perubatan Dipertingkatkan Di Penjara Kepayan.

Kota Kinabalu: Kerajaan akan mempertingkatkan fasiliti perubatan di Penjara Kepayan dalam usaha untuk membendung penyebaran wabak Covid-19 di dalam pusat berkenaan.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan selepas Penjara Kepayan diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan segera menubuhkan pusat rawatan sementara di penjara untuk merawat dan mengasingkan pesakit yang positif virus Covid-19.

“ATM akan mula menubuhkan MTC di Penjara Kepayan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Ismail berkata, ATM merancang untuk membuka satu lagi hospital medan di Kota Kinabalu selepas ibu negeri Sabah itu mencatatkan antara jumlah jangkitan tertinggi di negara ini setiap hari.

Katanya, hospital berkenaan akan digunakan untuk merawat bukan pesakit Covid-19 bagi membolehkan hospital sedia ada menumpukan sepenuh perhatian kepada wabak Covid-19.

”Dengan adanya hospital medan ini, hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan digunakan sepenuhnya untuk merawat pesakit Covid-19 dan menampung penyebaran wabak berkenaan.

“Ini akan membolehkan hospital-hospital di bawah bidang kuasa KKM menggunakan semua aset dan tenaga kerjanya berdepan wabak Covid-19.

“Saya sudah berbincang mengenai perkara itu dengan pihak ATM dan mereka menyatakan bersedia untuk mendirikan satu lagi hospital medan di Kota Kinabalu selepas Tawau ,”tegasnya.

Tamat