Pekan Tenghilan Ditenggelami Air

Tuaran: Air pasang dan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan termasuk Pekan Tenghilan terjejas akibat banjir kilat.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tuaran, Paulina Francis berkata, setakat ini tiada pusat pemindahan dibuka berikutan keadaan paras air semakin surut.

Bagaimanapun katanya, pihak APM akan terus mengambil langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan penduduk yang terlibat.

“Berdasarkan keadaan semalam, paras Sungai Kampung Labuaya serta Sungai Kampung Lakang mencecah 1.20 meter dan diletakkan pada tahap berjaga-jaga.

“Begitu juga dengan beberapa kawasan terjejas di daerah kecil Tenghilan antaranya Kampung Bunga, Kampung Suang Bangau, Kampung Napitas, Kampung Linsuk, Kampung Minajur Soromboton, Pekan Tenghilan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Tenghilan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Paulina berkata, beberapa laluan utama juga terjejas akibat dinaiki air selain pokok tumbang antaranya Jalan Tuaran – Kota Kinabalu berhampiran Taman Sri Rugading, Jambatan Kampung Suang Bangau Tenghilan dan Jalan Tenghilan – Tuaran.

Tamat