Rempuh Pintu Kaca Sebuah Bank.

Sipitang: Beberapa pelanggan yang sedang berurusan di sebuah bank di sini, terkejut apabila sebuah kereta yang ditinggalkan seorang wanita dalam keadaan enjin masih hidup, tiba-tiba merempuh pintu kaca depan bank, di Jalan Haji AH Tengah, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, semua pekerja dan pelanggan termasuk pemilik kereta Proton Saga berkenaan yang sedang berbaris di bank berkenaan bagaimanapun dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal mendapati pemandu berusia 29 tahun itu kereta meletakkan kenderaannya di kawasan parkir di hadapan bangunan bank berkenaan.

Katanya, wanita itu dikatakan sedang beratur di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank dan meninggalkan anak lelaki dan perempuannya berusia dua dan lima tahun di dalam kenderaannya.

“Ketika wanita itu sedang beratur di luar ATM, tiba-tiba orang awam menjerit dan wanita itu mendapati kereta yang ditinggalkan terlanggar pintu kaca bank berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, pintu kaca bank mengalami kerosakan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dua anaknya wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan begitu juga dengan pelanggan di bank.

“Kecuaian disebabkan oleh pemandu yang keluar daripada keretanya dengan enjin masih hidup atau gear terletak di posisi ‘D’,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1958 (Rule 10 LN 166/59) iaitu gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

tamat