RM4.8 Juta Rokok Seludup Dirampas.

SANDAKAN: Cubaan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) menyeludup masuk rokok gagal selepas kegiatan mereka itu berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan di perairan Tanjung Casuarina, Pulau Tetabuan, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, semua rokok berkenaan yang dianggarkan bernilai RM4.8 juta termasuk cukai itu dipercayai cuba dibawa masuk dari negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, sebanyak 19,900 karton yang mengandungi 3.98 juta batang rokok putih itu cuba dibawa masuk menggunakan sebuah bot nelayan tempatan.

Katanya, pasukan APMM yang sedang menjalankan Op Benteng di kawasan itu turut menahan semua enam PATI berusia 20 hingga 54 tahun.

“Bot nelayan berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan dilakukan di kawasan berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebanyak 398 kotak berisi 19,900 karton rokok jenama Astro disyaki cuba diseludup masuk dengan anggaran nilai tanpa cukai RM1.9 juta, manakala nilai cukai pula dianggarkan RM 2.8 juta,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Zainudin berkata, pemeriksaan lanjut terhadap kru dan tekong pula didapati gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke negara ini.

“Semua individu disyaki warga Filipina dan pemeriksaan pada lesen bot juga didapati tamat tempoh.

“Semua PATI ditahan dan barang dirampas dengan nilai keseluruhan termasuk bot yang dianggarkan RM4.8 juta dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985,” tegasnya.

Zainudin berkata, saringan ujian Covid-19 turut mendapati salah seorang daripada tahanan positif dan dihantar ke hospital manakala lima yang lain diasingkan dan dikuarantin di lokap.

Tamat