KOMANDER ESSCOM BERI AMARAN, HENTIKAN AKTIVITI PENYELUDUPAN PATI DI ESSZONE

LAHAD DATU: Komander Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Ahmad Fuad Othman memberi amaran keras kepada tekong-tekong darat yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan.

Ahmad Fuad berkata, antara aktiviti penyeludupan yang dikesan berlaku di perairan negeri ini termasuk membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), rokok dan dadah jenis syabu.

Katanya, pihak ESSCOM sudah mengenalpasti beberapa individu yang bertindak sebagai tekong-tekong darat dan dipercayai terbabit dalam aktiviti berkenaan.

“Tekong darat yang berada di ESSZZONE terutamanya di semua kawasan hotspot, dinasihatkan supaya menghentikan kerja ini, kita akan mendakwa kepada mana-mana pihak yang ditangkap.

“Saya bagi amaran serius, kita sudah mengenalpasti beberapa individu dalam senarai ESSCOM untuk diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, ESSCOM melalui OP Cegah Pati (OCP) akan sentiasa mempertingkatkan dan memperketatkan kawalan dan rondaan sama ada melalui laut, darat dan udara terutamanya di kawasan-kawasan hotspot.

“ESSCOM akan merangka operasi berdasarkan kepada jumlah aset dan keanggotaan yang ada buat masa ini dengan kerjasama semua agensi keselamatan termasuklah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia’’, katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fuad meminta semua lapisan masyarakat supaya melaporkan dengan kadar segera kepada pusat operasi (PUSOP) ESSCOM ataupun mana-mana ibu pejabat polis yang berhampiran sekiranya mendapati ada berlaku aktiviti penyeludupan PATI di kawasan masing-masing.

“Kerjasama dan sokongan daripada semua lapisan masyarakat amatlah dialu-alukan dalam usaha untuk mengekang dan membanteras aktiviti penyeludupan di pantai timur Sabah sama ada penyeludupan pati mahupun rokok dan syabu,” tegasnya.

Tamat