404 Individu Dikenakan Kompaun Sepanjang PKPB Daerah Kota Kinabalu.


Kota Kinabalu: Seramai 23 individu diambil tindakan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 404 kompaun dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sejak
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan 13 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah tidak memakai pelitup muka dan tidak menuruti Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti berkumpul.

Katanya, semua kesalahan itu dikesan dalam operasi pemantauan oleh pasukan khas yang ditubuhkan membabitkan seorang pegawai dan lima anggota di semua sembilan kawasan pentadbiran IPD Kota Kinabalu.

“Sebagai contoh bagi Balai Polis Manggatal, kita menubuhkan dua pasukan untuk memantau lokasi sensitif bagi memastikan tiada penularan wabak dan wujudnya kluster baharu.

“Seperti dilaporkan semalam, jumlah positif di Kota Kinabalu mencecah 557 orang dan 434 daripada adalah daripada kluster Penjara Kepayan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Perumahan Kakitangan Penjara Kepayan, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penjara Kepayan Nora Musa.

Habibi berkata, polis juga sudah mengadakan perbincangan dengan Datuk Bandar Kota Kinabalu serta agensi berkaitan untuk mengelakkan kewujudan kluster baharu.

Katanya, pihak polis turut mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk penguatkuasaan PKPB di seluruh daerah ini dan PKPD di Penjara Kepayan.

Sementara itu, mengulas mengenai kluster Penjara Kepayan, Habibi berkata, polis bekerjasama dengan pihak Penjara Kepayan untuk memperketatkan keluar masuk di pusat berkenaan serta kuarters perumahan pegawai dan anggota penjara.

Katanya, mengikut rekod, sejak PKPD dikuatkuasakan di Penjara Kepayan 21 Oktober lalu, seramai 1153 banduan termasuk 12 kakitangam penjara positif Covid-19.

“Ekoran itu, dua lokasi iaitu penjara dan kuaters perumahan kakitangan dipantau secara ketat bagi memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya.

“Ketika ini, hanya kakitangan bertugas saja yany dibenarkan bergerak keluar masuk,” tegasnya.

Tamat