Lelaki Menceroboh Rumah Ditahan.

PAPAR: Kegiatan seorang lelaki menceroboh sebuah rumah di kawasan Taman Pantai Lok Kawi, Kinarut, di sini, gagal selepas tindakannya berjaya dikesan Kereta Peronda Polis (MPV).

Dalam kejadian yang dilaporkan semalam, lelaki berusia 20-an itu berjaya ditangkap selepas suspek dipercayai telah melakukan pencerobohan di kawasan perumahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, sebaik ditahan, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Satu tangkapan telah dibuat oleh Unit Peronda MPV, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar terhadap seorang lelaki warga tempatan yang melakukan pencerobohan di salah sebuah kediaman.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Katanya, jika sabit kesalahn, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, Batholomew menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya menyedari terdapat kelibat orang yang mencurigakan di kawasan perumahan mereka untuk tindakan segera.

Tamat