Juragan Nekad Terjun Tinggalkan Bot.

LABUAN: Seorang juragan sebuah bot pancing nekad terjun ke laut untuk meloloskan diri dari diperiksa pihak berkuasa dalam kejadian di kawasan laut Ujung Pasir, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam kira-kira jam 7 malam itu, juragan bot berkenaan meninggalkan bot pancing serta enjin bot 15 kuasa kuda miliknya dengan melarikan diri ke kawasan bakau berhampiran.

Pemangku Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Inspektor Shafiq Rezza Rahim berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan bot ronda RH19 Pasukan Polis Marin (PPM) dikerah membuat rondaan Op Benteng Covid di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan bot suspek.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui satu peket ketulan kristal dipercayai dipercayai dadah syabu.

“Semasa menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan, juragan bot bertindak terjun ke laut.

“Ekoran itu, anggota PPM melakukan pencarian dan pemeriksaan di kawasan sekitar untuk mengesan suspek,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Walaubagaimanapun katanya, suspek gagal dikesan dan dipercayai meloloskan diri di kawasan bakau berhampiran.

Shafiq berkata, susulan itu bot suspek serta enjin bot yang dirampas dibawa ke Markas Operasi PPM Labuan untuk tindakan lanjut.

“Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM5,150 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sehubungan itu, Shafiq berkata, Pasukan Polis Marin sentiasa menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat untuk tindakan segera.

Katanya, maklumat boleh disalurkan menerusi aplikasi Whatsapp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor 0132831197 dalam usaha memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

Tamat