JBPM Jalankan Proses Sanitasi Penjara Kepayan


Kota Kinabalu: Seramai 24 anggota bomba termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dikerah menjalankan proses sanitasi awam di Jabatan Penjara Sabah, hari ini.

Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Hamsa Isnurdini berkata, proses sanitasi awam jam 9.40 pagi itu dilakukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) kota Kinabalu bersama pasukan Hazmat.

Katanya, operasi sanitasi membabitkan tiga kawasan dengan menggunakan cecair ‘sodium hypoclorite’ untuk membasmi kuman.

“Antara kawasan yang dijalankan sanitasi awam iaitu Ibu Pejabat Penjara, Penjara Wanita dan Lelaki.

“Setakat ini, operasi sanitasi berkenaan masih giat dilakukan sehingga selesai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Hamsa berkata, operasi sanitasi awam akan turut dilakukan di kuartes Penjara.

Mengikut rekod, PKPD dikuatkuasakan di Penjara Kepayan 21 Oktober lalu dan sehingga semalam sebanyak 439 kes daripada Kluster Penjara Kepayan.

Tamat