Pasar Besar Kota Kinabalu Ditutup Tiga Hari Untuk Proses Sanitasi.


KOTA KINABALU: Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, akan ditutup selama tiga hari bagi proses sanitasi dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19, di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata, proses sanitasi berkenaan akan dijalankan bermula esok meliputi kawasan pasar besar dan pasar ikan.

Katanya, semua peniaga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan kebanyakan mereka menyambut baik serta menyokong usaha yang diambil Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

“Penutupan selama tiga hari ini akan bermula esok dan makluman kepada semua pihak terlibat sudah dilakukan sejak beberapa hari lalu.

“Proses sanitasi akan diketuai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nordin berkata, tindakan itu perlu diambil kerana ia membabitkan keselamatan ramai pihak selain pasar besar ini juga menjadi tumpuan orang ramai.

Sementara itu, beberapa peniaga yang ditemui turut bersetuju dengan tindakan itu dan menyokong penuh proses sanitasi yang akan dijalankan di pasar berkenaan.

Salah seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Nana, 32, berkata, peningkatan jumlah orang dijangkiti Covid-19 di seluruh negeri ini amat membimbangkan.

Katanya, walaupun pendapatan mereka bergantung kepada perniagaan di pasar berkenaan namun mereka percaya aspek kesihatan perlu diutamakan.

“Pendapatan peniaga di sini sememangnya amat terjejas sejak beberapa bulan lalu namun kita tiada pilihan selain memastikan tempat yang menjadi tumpuan ramai ini sentiasa bebas dari jangkitan Covid-19.

“Kita harap penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya dalam masa terdekat supaya aktiviti di pasar ini kembali normal seperti sediakala sebelum ini,” katanya.

Seorang pengunjung yang ditemui, Ryan, 43, pula berkata, penutupan pasar ini sedikit sebanyak menyukarkan masyarakat mendapatkan bekalan bahan makanan.

Katanya, kebanyakan bahan makanan di sini segar selain harganya juga murah berbanding yang dijual di pasaraya atau kedai biasa.

Tamat