794 Senjata Api Tiruan Dirampas Dalam Dua Serbuan Berasingan.

Kota Kinabalu: Polis berjaya merampas sebanyak 794 objek permainan menyerupai pistol, rifle dan senjata api jenis ‘machine gun’ tiruan dalam dua serbuan berasingan, semalam.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, serbuan pertama membabitkan sebuah premis di Lorong Industri Inanam Juta sebelum polis menyerbu sebuah lagi premis di Bangunan ITCC, Penampang, di sini, selepas didapati menjual senjata api tiruan tanpa permit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, keseluruhan lapan individu termasuk tiga wanita berusia 22 hingga 55 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, hasil dua serbuan berkenaan, polis merampas semua senjata api tiruan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM16,000 termasuk cukai yang dipercayai dibawa masuk untuk dijual kepada orang awam.

“Semua barangan yang dirampas dipercayai diimport dari China sebagai permainan kanak-kanak sebelum dijual kepada orang ramai.

“Risikan mendapati, senjata tiruan berkenaan juga dijual secara atas talian bermula dari harga belasan ringgit hingga RM150 setiap satu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Turut hadir, Ketua Cawangan Khas IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Salleh Yahya dan Pegawai Turus D9, Superintendan Zairolnizal Ishak dan Pegawai Turus D7, Alhusin Halil.

Jauteh berkata, semua senjata tiruan yang dirampas itu menyerupai senjata api seperti AK47, Glock dan beberapa jenis senjata lain dan berfungsi dengan menggunakan bateri cas semula.

“Semua senjata tiruan itu dibawa masuk menggunakan lesen alat permainan dan dicampur aduk dengan alat permainan lain untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Semua barang rampasan ditempatkan di Stor Barang Kes manakala semua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Jauteh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Jauteh menegaskan kejayaan ini adalah hasil kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas IPK Sabah.

Tamat