Dua Pekerja Terperangkap Berjaya Diselamatkan Bomba.

Kota Kinabalu: Ketangkasan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan dua wanita yang terperangkap dalam kejadian kebakaran di bangunan Karamunsing, di sini, petang tadi.

Walaupun kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu ketika masih terdapat ramai pekerja dan orang awam, namun tiada sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.43 petang.

Katanya, seramai 34 anggota bomba dari BBP Kota Kinabalu dan Lintas dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Dua pasukan bomba dikerah kepada dua operasi iaitu menyelamat dan memadam kebakaran serta pasukan penyelamat bagi menyelamatkan dua wanita yang terperangkap di tingkat lima bangunan berkenaan.

“Kedua-dua wanita yang bekerja di bangunan itu kemudian berjaya dibawa turun dan mangsa selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

Ordine berkata, pasukan bomba akhirnya berjaya memadam kebakaran jam 7.30 malam.

“Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai membabitkan longgokan kotak di kawasan tangga di tingkat satu dan dua.

“Sistem pemasangan keselamatan kebakaran di bangunan berkenaan berfungsi dengan baik,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba.

Operasi turut dibantu pasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

tamat