Pasar Besar Kota Kinabalu Di Sanitasi Sepenuhnya.

Kota Kinabalu: Pasar Besar Kota Kinabalu yang ditutup selama tiga hari, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja sanitasi memulakan proses itu, hari ini.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan pihaknya menjalankan proses sanitasi dan disinfeksi di kawasan berkenaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Proses sanitasi pembersihan yang dijalankan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, hari ini, dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu hari ini. Tindakan ini amat penting kerana tempat ini sentiasa menjadi tumpuan ramai pihak,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Nordin berkata, sekiranya kerja-kerja sanitasi selesai dalam tempoh tiga hari, pasar ini akan dibenarkan beroperasi semula.

“Kerja-kerja sanitasi awam ini sudah dilakukan sebelum ini dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan cadangan dari KKM.

“Ia bagi pembasmian kuman dan memutuskan rantaian penularan COVID-19 serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan peniaga dan orang awam,” katanya.

Tamat