ESSCOM TERUS PERGIAT RONDAAN DARATAN.


KALABAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESCOM) terus mempergiat rondaan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izon (PATI) menerusi Op Cegah PATI (OCP) Daratan.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad berkata, pasukan rondaan OCP Daratan yang sebelum ini diaktifkan pada April lalu di kawasan Kalabakan, dan diperluaskan kawasan tanggungjawab rondaan sehingga ke kawasan pesisir pantai Wakuba, Tawau.

Katanya, operasi OCP Daratan dilihat mula menampakan hasil kejayaannya dalam mengawal kemasukan PATI dan barang-barang seludup lain ke kawasan berkenaan.

“Kejayaan OCP Daratan ESSCOM dapat dilihat melalui kurangnya penjaja haram (PATI) di kawasan hotspot PATI.

“Selain itu, kejayaan OCP Daratan juga dapat dilihat melalui kurangnya bekalan dan penjual-penjualan rokok seludup yang akhirnya memberi kesan kepada kenaikkan harga yang mendadak terhadap barangan berkenaan”, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Ahmad Fuad berkata, ESSCOM dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa dalam OCP Daratan yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memperketatkan kawalan di sempadan pesisir pantai bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di kawasan pulau sebatik yang jaraknya lebih kurang  8-10 minit perjalanan untuk masuk ke daerah tawau.

“Dari segi pengukuhan pasukan rondaan, kita mempunyai pos-pos tentera di bawah op gasak dan 6 points ATM yang membantu pasukan ESSCOM mengawal dan memantau lorong-lorong tikus sejauh lebih 200km daripada Tawau hingga ke Sempadan Kalabakan,” tegasnya.

Sementara itu, pada masa yang sama ESSCOM juga akan terus memantau dan mengambil kira ancaman jenayah rentas sempadan yang lain seperti ancaman daripada kumpulan militan yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan keselamatan perairan pantai timur Sabah.

“ESSCOM juga mengambil kira ancaman-ancaman lain daripada kumpulan militan seperti ancaman daripada kumpulan kidnapping for ransom group (KFRG) termasuk ancaman daripada kumpulan Abu Sayyaf yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk melakukan jenayah di perairan negara kita khususnya di pantai timur Sabah”.

“Pasukan Perisikan ESSCOM akan terus memantau dan meneliti maklumat-maklumat pergerakkan dan aktiviti kumpulan ini dan kita akan sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan daripada negara jiran untuk bertukar-tukar maklumat perisikan dalam usaha kita untuk mengawal dan mengekang kemasukan kumpulan-kumpulan ini,”.

“Fokus kita sememangnya mengekang penularan wabak COVID-19, tapi dalam masa yang sama mengambil kira ancaman lain”, katanya.

Ahmad Fuad turut melahirkan keyakinan bahawa keselamatan perairan pantai timur sabah masih terkawal dan ESSCOM dengan kerjasama semua agensi keselamatan yang ada sentiasa mengambil langkah-langkah wajar dan terancang bagi memastikan tahap keselamatan di perairan ESSZONE sentiasa berada di tahap keadaan terkawal.

“Tiada apa yang nak dibimbangkan, semua kawasan operasi memang terkawal dan kita akan sentiasa siapsiaga dalam berhadapan dengan sebarang kemungkinaan”, katanya.

Tamat