Peragut Ditahan

Kota Kinabalu: Seorang peragut diberkas orang awam selepas cuba melarikan dompet milik salah seorang peniaga sayur di kaki lima, Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, suspek berusia 43 tahun itu berjaya ditahan dua orang awam yang kebetulan berada di lokasi sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa adalah seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun yang berniaga di tepi jalan di pasar berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya dihampiri suspek yang tidak dikenalinya dan memaklumkan mengenai penjualan ikan yang lebih segar.

“Mangsa yang terpedaya kemudiannya mengikuti suspek namun sebaik tiba di tempat yang diberitahu tiada sebarang aktiviti jualan ikan di tempat berkenaan.

“Mangsa yang khuatir terus beredar dan suspek mengekori dari belakang sebelum meragut dompet mangsa yang disimpan dalam poket belakang seluar mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa cuba mengejar suspek yang melarikan diri ke jeti pasar ikan sambil menjerit meminta tolong.

“Dua orang awam yang kebetulan berada di kawasan itu kemudian membantu menangkap suspek.

“Ketika melarikan diri suspek membuang dompet milik mangsa ke dalam laut selepas mengambil wang sebanyak RM500 di dalam dompet mangsa.

“Sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi dan menangkap suspek semula,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tamat