Remaja Ingkar Arahan Kuarantin Dikompaun.

Beaufort: Seorang gadis berusia 17 tahun yang ingkar terhadap arahan kuarantin di rumah dikompaun selepas didapati keluar ke rumah neneknya di Kampung Lumat, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, pihaknya yang menerima maklumat pada jam 10.44 pagi sebelum bertindak mengesan suspek.

Katanya, hasil siasatan mendapati, gadis terbabit masih dalam tempoh kuarantin di rumahnya di Lumat Saujana, selama 14 hari dengan memakai gelang kuarantin.

“Dia dikesan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan keluar dari rumah untuk ke rumah neneknya bagi urusan peribadi.

“Gadis berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) 2020,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmir berkata, polis sentiasa mengambil berat terhadap perbuatan melanggar PKPB dan akan terus memantau dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, Azmir menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada polis sekiranya ada individu yang memakai gelang kuarantin di rumah berada di tempat awam.

Tamat