14 Individu Berhibur Di Pusat Hiburan Dikompaun.

Kota Kinabalu: Seramai 14 individu yang gian berhibur sambil minum minuman alkohol, dikenakan kompaun selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kelab malam mewah, di Asia City, di sini, malam tadi.

Dalam operasi jam 11.30 malam itu, operasi dilakukan pasukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah dan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menjalankan pemantauan OP COVID-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan, pihaknya mendapati premis berkenaan sedang beroperasi dengan sekumpulan individu sedang berhibur di kelab malam berkenaan.

Katanya, pasukan polis kemudiannya menahan 11 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 23 hingga 56 tahun untuk pemeriksaan dan proses dokumentasi selepas didapati ingkar terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB.

“Mereka yang dikompaun didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8), Peraturan 10 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11 dan dikenakan kompaun.

“Operasi ini dijalankan berikutan kerajaan masih melaksanakan PKPB dan masyarakat hendaklah mematuhi sebarang SOP yang dikuatkuasakan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, tahap pematuhan masyarakat terhadap SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah penentu kejayaan PKPB.

“Mana- mana individu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua, pesalah boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan yang berterusan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM200 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu dilakukan,” katanya.

Tamat