APMM Kerah Operasi Mencari dan Menyelamat Dua Beradik Yang Dikhuatiri Lemas.

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meneruskan operasi mencari dan menyelamat dua beradik yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika mandi di Jeti Teck Guan, Kampung Bergosong, Pulau Sebatik, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa Nazwa Telson, 8, bersama adiknya Madsun, 5, gagal ditemui selepas dikatakan mandi bersama beberapa rakan di kawasan berkenaan.

Pengarah APMM Zon Tawau, Kapten V Siva Kumar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 malam tadi.

Katanya, sepasukan anggota kemudiannya dikerah ke lokasi bagi mendapatkan maklumat sebelum operasi mencari dan menyelamat dimulakan.

“Maklumat awal yang diterima, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan adik lelakinya dikatakan mandi bersama dua lagi rakan.

“Bagaimanapun, mereka dipercayai terjatuh ke dalam laut sebelum dibawa arus,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Siva berkata, kejadian disedari selepas rakannya memaklumkan insiden itu kepada ahli keluarga mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dijalankan di lokasi kejadian bersama orang awam menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan kawasan bakau berhampiran.

“Bagaimanapun sehingga kini, dua beradik terbabit masih gagal ditemui,” katanya.

Siva Kumar berkata, usaha SAR kemudian diteruskan hari ini membabitkan beberapa aset APMM, bot orang awam dan agensi keselamatan lain yang turut sama membantu.

Tamat